1. Lipatan kompleks berlaku apabila
satu set lipatan ditindih oleh satu atau lebih set lipatan baru, samada akibat
arah daya yang sama atau berlainan.
2. Bentuk lipatan bertindih ini
adalah berkaitan dengan orientasi kedua-dua set lipatan itu dan juga sifat fizikal
batuan yang tercangga.
3. Dua episod perlipatan boleh
dipisahkan oleh masa beberapa saat sahaja atau berjuta tahun, atau berlaku
secara berterusan.
4. Batuan bersifat mulur membolehkan
lipatan kompleks terhasil. Keadaan ini biasanya terdapat di kawasan teras
pergunungan, di kawasan zon subduksi dan kawasan sesar transform di mana
mampatan, metamorfisma dan ricihan berterusan berlaku.
Secara umum ada tiga jenis
lipatan bertindih:
a. Struktur Kotak Telur atau Corak
Kubah dan Lembangan. Ia berlaku bila dua set lipatan tegak bertemu atau berinteraksi
pada sudut besar.
b. Corak Boomerang. Ia berlaku bila
lipatan yang dengan paksi permukaan miring (e.g. lipatan isoklinal) dan lipatan
dengan paksi permukaan tegak (e.g. lipatan tegak) bertemu/berinteraksi pada
sudut yang besar.
c. Corak Hook. Ia berlaku bila
lipatan isoklinal yang ketat dilipat semula pada paksi yang sama, pada berbagai
skala.
Kombinasi ketiga-tiga jenis di
atas juga boleh berlaku. Satu jenis boleh bertukar secara beransur-ansur ke
jenis yang lain. Lipatan yang bertindih ini penting untuk menentukan sejarah
canggaan sesuatu kawasan. Kita boleh mengenal pasti pertindihan lipatan ini
bila kita membuat permerhatian dan pemetaan struktur secara terperinci sesuatu
kawasan. Biasanya, satu kawasan yang telah mengalami dua arah perlipatan
menunjukkan perubahan arah jurus dan miringan yang agak mendadak tetapi
sistematik.